PPC Iklan Blogger Indonesia

Rabu, Juni 12, 2013

Buah-Buahan Yang Membantu Mengurangkan Kolesterol

Sesiapa yang didapati mempunyai paras kolesterol
yang tinggi biasanya akan mengambil ubat-ubat yang dibekalkan oleh pihak
hospital tanpa membuat kajian kesan ubat tersebut terutama ubat yang paling
berkesan untuk menurunkan kadar kolesterol iaitu statin.

Padahal terdapat alternatif lain yang boleh diambil
iaitu sumber semulajadi yang dikurniakan oleh Allah. Di antaranya ialah buah-buahan tempatan
yang mudah dan murah di pasaran. Antara buah-buahan yang didapati berkesan
untuk menurunkan kadar kolesterol ialah :

1) Jambu batu


Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan berfungsi yang banyak mendatangkan
manfaat kepada kesihatan manusia.


Bagaimanapun, pengambilan buah jambu batu perlu dibuat dalam jumlah yang
mencukupi bagi memastikan khasiatnya berupaya memberi tindak balas kepada tubuh
secara berkesan.



Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan
Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata,
orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari
iaitu sebiji setengah selama empat minggu.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Simposium Makanan Berfungsi Asia
Pasifik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.



Menurut beliau, buah itu perlu dimakan bersama kulit-kulitnya sekali kerana ia
mengandungi khasiat yang tinggi.



Selain dimakan begitu sahaja buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara
penyediaannya perlu asli iaitu tidak ada gula di dalamnya.



Dr. Rokiah memberitahu, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang
terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan.



Beliau menasihatkan supaya buah jambu batu
dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan.


Katanya, bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam
darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol iaitu 18.8 peratus dalam masa
seminggu.



"Tetapi pesakit mestilah mengambil buah jambu
batu setiap hari bagi memastikan keberkesanannya,'' ujar beliau.



2) Betik


Selain jambu batu, buah betik juga boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak
19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu.



Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram
sehari.



3) Nanas

Nanas turut tergolong dalam kumpulan buah yang
mengandungi vitamin yang tinggi dan ia boleh diambil dalam jumlah yang sama
iaitu 400 gram.



Dr. Rokiah menjelaskan, asid yang ada dalam nanas membantu tubuh dan ia tidak
memudaratkan mereka yang mengambilnya.


"Dalam nanas ada tambahan vitamin C dan nanas turut berfungsi sebagai
antioksida.
"Malah nanas juga berupaya menurunkan paras
kolesterol sebanyak 8.38 peratus dalam masa tiga minggu sahaja,'' katanya lagi.


4) Pisang emas

Bagi penggemar pisang emas pula mungkin ini
merupakan berita gembira untuk anda kerana buah tersebut juga berfungsi
mengurangkan paras kolesterol dalam darah.



Pisang emas boleh diambil sebanyak empat hingga lima biji sehari dalam tempoh
empat minggu.


Bagaimanapun, pisang emas masih tidak dapat menandingi jambu batu yang
disifatkan sebagai buah yang paling bagus diikuti dengan nanas, tembikai,
belimbing dan betik.


Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil lima jenis hidangan buah-buahan
sehari kerana ia membekalkan vitamin, mineral dan serat kepada tubuh.


Dalam pada itu, Dr. Rokiah juga menolak dakwaan segelintir masyarakat yang
menyifatkan sesetengah buah seperti nanas dan betik sebagai ``tajam serta
mendatangkan angin dalam tubuh.''


Menurut beliau, tidak terdapat bukti saintifik yang menunjukkan buah-buahan
berkenaan memudaratkan kesihatan manusia.



"Ini hanya kepercayaan masyarakat. Tidak ada
bukti saintifik yang membuktikan kenyataan mereka itu benar,'' terangnya.


Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM telah menjalankan kajian terhadap
khasiat buah-buahan tempatan sejak tiga tahun lalu.



"Kami memilih buah kerana semua orang suka
makan buah. Ia berbeza dengan sayur-sayuran kerana tidak semua orang gemarkan
sayur,'' jelas beliau.


Satu kajian UPM ke atas penduduk luar bandar pada tahun lalu menunjukkan
buah-buahan tempatan seperti jambu batu, nanas dan betik berupaya membantu
mengurangkan paras kolesterol dalam darah.



Dr. Rokiah berkata, walaupun orang kampung tidak terdedah kepada makanan ringan
tetapi menerusi pemeriksaan kesihatan yang dilakukan, para penyelidik mendapati
paras kolesterol dalam darah mereka tinggi.


UPM telah melakukan kaji selidik dengan memberi pesakit terbabit buah-buahan
tempatan iaitu jambu batu, nanas, betik, tembikai dan belimbing mengikut
sukatan yang ditetapkan.


Selepas tempoh tertentu, paras kolesterol dalam darah pesakit-pesakit terbabit
diuji dan didapati telah berkurangan berbanding sebelumnya.


Dr. Rokiah kesal kerana orang ramai masih tidak mengambil buah-buahan dalam
jumlah yang mencukupi.


"Masyarakat sekarang lebih gemar mengambil makanan tambahan dalam bentuk
pil sedangkan ada segelintir daripada produk berkenaan diragui
keberkesanannya,'' katanya.



Diedit dari sumber Utusan Online

0 komentar:

Posting Komentar

Terjemahan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More